Buat korang yang selalu layan siri Ulasan Rock Kapak di YouTube tu, ni aku bawakan interview special punya individu yang membuat ulasan tu, Daeng Hasri. Takyah buang masa, jom layan interview ni.
Assalamulaikum bro, terima kasih kerana sudi menjawab soalan daripada Kugigran, First words?
Waalaikumsalam, pertama sekali gua juga nak ucapkan terima kasih kerana sudi menemuramah gua yang kerdil ini. Caya sama lu.
Kenalkan sedikit tentang diri bro?
Gua Daeng Hasri, asal dari Selangor. Umur baru 35 tahun ni. Penggemar muzik Rock & Metal Oldskool sejak kecil membuatkan gua sekitar tahun 2003 dulu pernah buat website khas Mp3 rock kapak, dinamakan JuaraRock.cjb.net. Juga pernah jadi admin portal LagendaRock Online tahun 2004-2007. Selain dari tu, gua juga pemuzik dan ada band underground.
Daeng Hasri (tengah) with Afee (Kiri) from Utopia |
Macam mana mula timbul nak buat channel YouTube tentang Rock Kapak?
Ideanya timbul masa PKP pertama 2020 yang lalu. Ikutkan gua dah lama sebenarnya tinggalkan dunia kaset-kaset Rock Kapak ni. Semua koleksi gua tersimpan rapi dalam gobok gua dan gua tak berapa campur sangat scene pada masa tu sebab lebih sibuk dengan aktiviti lain serta band gua.
PKP pertama tulah punca gua jadi aktif balik. Bosan-bosan masa tu, mula mencari semula kaset-kaset yang gua tak pernah ada melalui grup FB jual beli kaset. Tengah semangat mencari tu timbulah idea nak buat Ulasan Rock Kapak. Pada awalnya gua lebih pada nak perkenalkan muzik sebenar yang dimainkan band-band Rock kapak yang selama ni orang lebih tahu lagu-lagu slow mereka sahaja. Gua geram sebab kadang orang tak tahu identiti sebenar band-band ni. Itulah tujuan asal Ulasan Rock Kapak (sebab tu lah dinamakan ULASAN), tapi setelah slot tu mula berjalan dan dapat banyak sokongan. Gua mula buat biografi band-band yang gua ulas serta masih mengekalkan intipati asal slot iaitu ulasan muziknya serta album review.
Macam mana bro punya pengetahuan tentang Rock Kapak begitu banyak sekali?
Minat yang mendalam sejak kecil rasanya. Gua jenis bila baca benda-gua yang gua minat memang masuk terus dalam otak. Bukan saja topik Rock Kapak, apa saja lah yang gua minat, sejarah, info kesihatan dan lain-lain. Di samping tu gua memang banyak bergaul dengan bandboy, orang belakang tabir untuk dapatkan maklumat.
with Desire |
Macam mana proses nak hasilkan video ulasan Rock Kapak? Adakah info-info tentang band dapat dari interview atau macam mana?
Ya majoriti dari interview dengan bandboy sendiri, sambil cross reference dengan pihak penerbit, artikel-artikel lama serta orang-orang kuat dalam industri. Biasanya sebelum gua buat video ulasan, gua akan interview individu-individu yang dikatakan itu. Nama-nama mereka ada ditulis di bahagian intro video sebagai penghargaan. Berkenaan artikel-artikel serta gambar-gambar, kebanyakkannya datang dari bandboy sendiri. Ada juga gua dapat dari kawan-kawan gua yang sentiasa support gua macam Ende Rockerz, Ariep Rockerz, Azwan Hidayat, Wiraaz & Kodin Raja Rock Kapak.
Apabila semua maklumat telah dikumpulkan, gua buat skrip bertulis dan tunjuk kepada bandboy dan penerbit untuk pengesahan info. Kalau ada benda nak ejas, kami akan ejas sama-sama. Setelah semuanya dah difinalized, baru proses penghasilan video bermula. Gua buat editing gunakan fon sahaja, pakai app Kinemaster.
Selain ulasan Rock Kapak, apa lagi yang bro nak bubuh lagi dalam channel tapi belum lagi berkesempatan?
Banyak sebenarnya! Kebanyakkannya berkaitan nostalgia muzik, tempat dan banyak lagi Tapi kalau gua bagitau sekarang ni nanti tak surprise la, heheh. Stay tuned di channel Daeng Hasri untuk sama-sama nantikan kontent-kontent menarik yang akan gua kemukakan kelak.
Band Rock Kapak paling bro suka?
Soalan ni subjektif! Terlalu banyak kalau nak diikutkan dan gua bukan jenis favor satu band ni sahaja. sebaliknya gua layan semua band Rock Kapak secara sama rata. Ada band yang gua suka sebab muziknya keras dan pantas contoh Crossfire, MAY, Rusty Blade. Ada juga yang gua suka disebabkan sound Glam / Hair Metal seperti Black Rose, Fotograf, Fancy, Damasutra Ada juga yang gua suka disebabkan ia Melodik, contoh Cinema, Search, Babylon. Ada juga yang disebabkan Slow Rocknya, Projek, Ikrar, Fantasia. Pendek kata setiap band yang gua minati ada sebab masing-masing.
Apa yang membezakan Rock Kapak dengan muzik yang lain?
Bagi gua Rock Kapak ni istilah untuk membezakan band Rock Melayu era 1984-1994 dengan Rock Melayu selepas tahun 1994. Band era Rock Kapak 1984-1994 kebanyakkannya kekal pada muzik Rock / Heavy Metal asli era 80an. Lengkap dengan gaya pakaian seluar ketat, jaket kulit / denim, rambut panjang potongan gondrong (atas pendek, belakang labuh). Ia sememangnya amat berbeza dengan Rock Melayu yang muncul pada 1994 ke atas yang muziknya sudah banyak saduran muzik rock era 90an, Alternative dan Moden Rock, sambil gaya pakaian mereka lebih ke arah santai dan simple.
Apa komen bro tentang masalah sesetengah band yang berpecah kepada dua kem seperti XPDC, May dan Search?
Gua no komen pasal ni. Gua support je semua tanpa mahu campur masalah peribadi mereka.
Apakah formula yang terbaik buat sesetengah band tu kekal lebih lama?
Jadikan band sebagai tanda persahabatan, bukan mengutamakan wang atau populariti. Gua ada belajar hal ini dari beberapa band yang gua interview, contohnya kumpulan Jitu, Crossfire yang masih kekal bersahabat baik hingga hari ini.
Apa harapan bro terhadap industri muzik tempatan?
Jujur cakap takde ape yang gua harapkan sangat. Industri kita ni kecik je, bukan boleh ke mana pun haha.
Suka kumpul stuff-stuff rock kapak? Berapa banyak koleksi bro? Apa koleksi yg mahal dan berharga buat bro?
Koleksi peribadi Daeng Hasri |
Ya memang gua suka kumpul stuff Rock Kapak. Kaset, Poster, Piring Hitam. Malah bukan Rock Kapak Melayu saja, gua juga suka kumpul kaset-kaset Rock / Metal orang putih era 80an. Kepuasan simpan kaset original dari era tersebut tu sukar diganti pada gua. Mahal atau murah tu malas nak cakaplah, sebab pada gua, koleksi gua tidak ternilai dengan harga.
Last words?
Terima kasih sekali lagi kerana sudi menemubual gua. Pada mereka yang belum subskribe channel YouTube Daeng Hasri, hah subskribelah cepat. Sama-sama kita martabatkan kembali era rock kapak kita kepada semua. Rok terus rok!
Mantap bro
ReplyDeleteRock kapak forever. . .
ReplyDeleteRock never die !!!
ReplyDeleteMantap bro.. semoga sukses selamanya .
ReplyDeletePost a Comment