Ulasan oleh Siti Amanda
Ratu Kala Jengking: Puteri Keranda (2020)
Arahan Bade Hj Azmi
Skrip oleh Leftenan Kolonel Bersekutu (PA) Dato' A. Aida
CGI oleh KRU studios
Skor Muzik oleh Yusri Abd Halim
(Menonton wayang bukan seperti membeli barang di Shopee. Pendapat penulis tidak harus dijadikan sebagai panduan untuk anda rasa berbaloi atau tidak berbaloi menontonnya. Alamilah sendiri.)
Tidak meletakkan harapan yang tinggi menjadi penyelamat kepada pengalaman sinematik aku sewaktu menonton filem ini. Melalui pangamatan trailer, aku dan Azlan agak skeptikal untuk ke panggung. Perasaannya seperti menonton drama-drama fantasi mistikal dari negara seberang. Azlan pula kata ada vibe Star Wars.
Filem ini merupakan sebuah peralihan telefilem kepada filem. Telefilem bertajuk Cik Siti telah ditayangkan di slot cerekarama TV3 lakonan Izara Aishah dan Rusdi Ramli. Gandingan filem pula adalah Nadia Brian dan Dato Fizz Fairuz.
Penukaran tajuk amat bernas. Tak sedap pula jika mereka menggunakan Cik Siti sebagai tajuk filem. Melihat kepada pola tajuk filem di Malaysia, penggunaan 1 perkataan sebagai tajuk memerlukan kekuatan definisi yang mantap seperti Pulang, Sangkar, Pu(Saka), Munafik dan Badang. Bagi tajuk panjang pula perlukan kekuatan silaturrahim antara perkataan seperti Anak Perjanjian Syaitan, Dikala Malam Bulan Mengambang, Pontianak Harum Sundal Malam dan Mencari Rahmat.
(Mujur mereka tidak teruskan dengan tajuk Scorpion Queen)
Durasi filem ini adalah 2 jam dan ia agak panjang bagi aku terutamanya pada pengisian babak yang berlagu. Ia terlihat meleweh-leweh ibarat MTV. Ia boleh dimantapkan lagi jika pendekatan latar belakang konflik dan motif dipertajamkan yang aku percaya sudah pasti membantu perjalanan cerita. Tanpa konflik dan motif yang jelas, filem ini seperti dipandu oleh angin monsun.
Persoalan aku terjawab (rasanyalah) apabila aku ternampak gambar pegun di Instagram rasmi filem ini memberitahu pada hari penggambaran yang ke-7, terdapat babak persilatan berlaku. Hal ini kerana aku agak musykil bagaimana Siti dan Mawar handal bertempur. Nak kata semua orang kampung pandai bersilat, ini bukan filem Geran.
Melalui gambar aku dapat tahu kemahiran bertempur mereka datang daripada babak ini. Melalui gambar tersebut juga aku dapat rasa tebalnya hasad dengki Mawar terhadap Siti. Sayang babak ini ghaib atas sebab-sebab yang tidak dapat aku teka.
Tidak pasti secara sengaja atau tidak, babak Siti (lakonan Nadia Brian) berlari di dalam hutan mirip atau mungkin boleh jadi homaj kepada babak Ray dalam Star Wars yang sedang 'menurun' ilmu Jedi di hutan.
Lakonan dalam filem ini sangat bagus. Tidak kayu, tidak juga melebih-lebih. Baik watak utama mahupun watak tambahan. Walaupun watak tambahan hanya ketawa tutup mulut. Aku suka watak makcik bawang 3 orang tu terutamanya Raja Azmi. Busana yang cantik. Rumah yang cantik. Dialognya mudah. Lontaran suara terasa seperti menonton teater. Pemilihan pelakon yang mantap.
Aku percaya kesan khas tatarias boleh jadi lebih baik dengan mengambil contoh filem Pusaka dan Anak Perjanjian Syaitan yang jauh lebih realistik. Genre filem ini katanya Seram Romantik yang mana ia agak sukar untuk aku terima. Pada aku genre filem ini boleh jadi drama atau fantasi.
Lebih manis jika diakhir cerita, mereka gantikan babak MTV dengan selitkan sedikit rakaman yang mengatakan ini kisah benar yang berlaku di Kota Tinggi. Siarkan juga gambar-gambar lokasi makam Cik Siti ini. Dengan ini audiens yang keluar panggung akan berasa seram-seram sejuk. Semalam aku keluar panggung rasa macam baru lepas tonton AJL.
P/S: Aku rasa aku pernah beli buku cerita kanak-kanak yang ceritanya macam ni sewaktu jualan buku cerita di kantin sekolah rendah. Muka depan warna kuning dan wajah Cik Siti mirip Sleeping Beauty. Hari ni hari rabu. Tiket murah. Pergilah tengok.
Post a Comment